
Singapura adalah sebuah negara kecil yang sangat terkenal sebagai antara negara yang paling mahal untuk memiliki sesebuah kenderaan. Bayangkan, kos cukai dan kos import di sana sahaja menyebabkan harga satu unit kenderaan di Singapura boleh mencecah sehingga tiga atau empat kali ganda berbanding di Amerika Syarikat. Tapi, walaupun harga kereta di sana mahal, rakyat mereka masih ramai yang mampu untuk memiliki kenderaan sendiri selain kereta juga dianggap sebagai penanda aras ‘status’ seseorang.

Maka tidak hairanlah jika kereta jenama Tesla, iaitu Tesla Model 3, yang dijual di sana pun menunjukkan peningkatan dari segi jumlah jualan walaupun harganya memang di luar kemampuan rakyat marhaen. Dengan harga sekitar S$200,000 (RM 614,645), ianya tidak menghalang langsung rakyat Singapura untuk membelinya. Bahkan jumlah jualan pula meningkat sehingga 10 kali ganda dalam masa sembilan bulan. Pada suku tahun pertama (Q1) cuma 30 unit sahaja terjual, tapi bila masuk suku tahun ketiga (Q3), sebanyak 487 unit yang terjual. Wow!
Sejak itu juga, Tesla menjadi antara enam kenderaan paling popular di Singapura mengalahkan jenama lain seperti Audi, Nissan dan juga Kia pada bulan September 2021. Mungkin ramai mula berpaling ke arah Tesla selepas kerajaan mereka menawarkan subsidi sehingga S$45,000 (RM 138,000) untuk kereta elektrik kot? Juga mungkin disebabkan kerajaan mereka turut akan menghentikan jualan kereta pembakaran pada tahun 2040?



