
Pernah tak anda tengok pada kereta sendiri dan berkata, “Aku rasa aku kena tukar kereta dah ni”?
Jika tak dapat tukar kereta kerana faktor kewangan, mungkin masih boleh dimaafkan lagi. Tapi jika keadaan kereta sudah terlalu nazak tetapi anda sengaja tak nak tukar walaupun mampu, itu namanya kedekut! Tunggu kereta roboh dulu ke?

Jadi, apa sebenarnya tanda-tanda awal bahawa sudah sampai masanya untuk anda tukar kereta?
1. Bila Ahli Keluarga Bertambah

Semasa bujang, anda boleh beli kereta kecil atau kereta dua pintu. Tapi selepas sudah berumahtangga, kereta itu tidak lagi memenuhi keperluan anda. Ditambah pula dengan anak-anak dengan “carseat” mereka semua lagi, sememangnya ini adalah masa yang paling sesuai untuk tukar kereta kepada yang lebih besar. Jangan bagi alasan tak nak beli sebab mahal, sebab sekarang sudah banyak SUV atau MPV yang berbaloi untuk dibeli dengan harga yang berpatutan.
2. Bila Anda Melawat Bengkel Lebih Kerap Daripada Sepatutnya

Memang bagus kalau kita selalu bawa kereta kita ke bengkel untuk buat servis (maintenance) untuk tukar minyak hitam atau setiap 5,000 km hingga 7,000 km. Tetapi, jika terlalu kerap ke bengkel disebabkan oleh kerosakan yang ‘sedikit-sedikit’ maka itu tandanya kereta anda sudah menghampiri saat-saat ‘kematian’ atau ‘tarikh luput’. Jika sayangkan nyawa dan poket anda untuk jangka masa panjang, sila tukar kereta anda.
3. Bila Kereta Anda Bunyi Macam Band Muzik

Sebenarnya ada beberapa jenis bunyi dari kereta yang anda kena peka. Yang pertama bunyi ‘hissing’ seperti ada ular dalam enjin. Bunyi tu biasanya dikaitakan dengan kebocoran dari “cooling system” atau “vacuum line”. Yang lainnya seperti bunyi besi bergesel, atau ketukan dari arah enjin atau bawah kereta juga menandakan ada sesuatu kerosakan yang serius pada kereta anda. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah pergi ke bengkel secepat mungkin. Namun sekiranya bunyi itu kembali semula atau semakin kuat, silalah buka mana-mana laman menjual kereta dengan segera. Carilah kereta baharu kat “showroom” ke, Carlist, Carsome atau Mudah.com pun ada.
4. Bila Lampu Amaran Mula Kerap Muncul

Lampu amaran ni, bila dia kerap buat kemunculan itu tandanya kereta anda memang mengalami masalah serius. Lagi parah jika lampu amaran itu juga selalu berkelip-kelip tanpa sebab. Apabila dibawa ke bengkel, tanya pada mekanik samada lampu amaran itu keluar disebabkan oleh masalah sensor atau sebaliknya. Tapi jika dah kerap sangat, dah boleh mula cari kereta lain. Sebab biasanya dah tak lama tu. Silap-silap kos penyelenggaraan yang kerap ni lebih mahal dari kos untuk memiliki kereta baru.
P/S: Lagi satu tanda ketara untuk tukar kereta baru adalah bila gaji naik. Kan?





