Jutawan Bina Litar Perlumbaan $200 Juta Khas Untuk Keluarga

Bayangkan ada litar lumba di halaman rumah sendiri dan lebih mengejutkan, sanggup berbelanja sekitar $200 juta untuk membinanya. Itulah yang dilakukan seorang jutawan Jepun bina litar perlumbaan peribadi, dengan terciptanya Magarigawa Club di kawasan pergunungan Chiba, Jepun. Tujuannya? Sebagai taman permainan eksklusif untuk berlumba bersama isteri dan anak-anak.
Terletak di kawasan dengan pemandangan indah Teluk Tokyo dan Gunung Fuji, Magarigawa Club membentang sejauh 3.5 kilometer dengan 22 selekoh mencabar, perubahan ketinggian dramatik, serta panorama menakjubkan yang setanding dengan litar profesional.Direka oleh Hermann Tilke, arkitek terkenal di sebalik banyak litar Formula 1 seperti Bahrain dan Abu Dhabi, rekaannya menggabungkan kelajuan, cabaran teknikal, dan keanggunan.

Lebih menarik, trek ini dibina berhampiran kediaman peribadi jutawan tersebut malah laluan trek melintasi beranda dan kolam renang rumahnya. Setiap pusingan bersama keluarga bukan sekadar hiburan, tetapi tercipta sebagai kenangan indah yang tidak ternilai.
Walaupun pada mulanya dibina untuk kegunaan keluarga, Magarigawa Club kini berkembang menjadi kelab eksklusif ahli sahaja, dengan yuran tahunan dilaporkan sekitar $230,000. Selain litar utama, kemudahan mewah turut disediakan termasuk kolam infiniti, gimnasium, spa, restoran mewah, bilik karaoke, dan lorong pit tertutup lengkap dengan mekanik profesional.

Dalam dunia di mana kemewahan sering dikaitkan dengan jet peribadi, pulau persendirian, atau kapal layar, projek Magarigawa Club ini benar-benar unik. Ia bukan sekadar tentang kuasa kuda, tetapi juga tentang mengukir detik keluarga yang penuh adrenalin satu pusingan demi satu pusingan oleh seorang jutawan Jepun bina litar perlumbaan peribadi.

Image credit : magarigawa , mph.com , motor-fan.jp , clubofclubs.org





