Kapal Lady M Rusia Tidak Dibenarkan Berlabuh Di Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi, Melaka

Susulan daripada konflik peperangan di antara negara Rusia dan Ukraine, sebuah kapal dengan muatan minyak mentah dari Rusia tidak dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP). Kapal yang didaftarkan dengan nama Linda atau turut dikenali sebagai Lady M itu dijadualkan untuk berlabuh pada 5 Mac 2022 di pelabuhan KLIP, namun terpaksa ditolak agar tidak melanggar sebarang sekatan antarabangsa.
Tambahan pula, Lady M itu juga turut telah disenaraikan di dalam sekatan antarabangsa.


Mengikut satu siaran media daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkaitan isu ini, mereka memaklumkan bahawa mereka melakukan pendekatan untuk tidak memberi keizinan Lady M untuk berlabuh supaya tidak melanggar sebarang sekatan antarabangsa seperti prerogatif pihak KLIP.
Untuk pengetahuan, selain KLIP, kebanyakan negara lain di seluruh dunia juga melakukan perkara sama, iaitu menghalang sebarang kapal dengan bendera Rusia untuk berlabuh di pelabuhan mereka. Ini termasuk seperti di Pelabuhan Lowestoft, UK, dan juga di semua negara di bawah Kesatuan Eropah (EU). Selain itu, antara negara yang secara rasminya telah membuat kenyataan tentang penutupan pelabuhan untuk kapal Rusia ialah Kanada, Amerika Syarikat, Denmark dan juga Sepanyol.





