
Siapa yang tidak kenal dengan Manchester United? Sebut sahaja nama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) ini maka semua orang pasti tahu mengenai juara EPL 20 kali ini.
Terbaharu, Pengerusi PERODUA iaitu Tan Sri Asmat Kamaludin telah membuat pendedahan tentang pihak PERODUA telah ‘dilamar’ oleh Manchester United. Menurut beliau, pihak Manchester United telah menghantar surat kepadanya dan bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo PERODUA pada baju mereka dan adakah PERODUA berminat untuk menaja Manchester United.
Perkara itu sudah tentu akan mengejutkan ramai pihak dan PERODUA sangat berbangga kerana tawaran seperti itu menunjukkan bahawa PERODUA semakin dikenali di peringkat antarabangsa. Jika tajaan itu dimeterai, maka PERODUA akan mengikut langkah syarikat automotif antarabangsa lain seperti Chevrolet (AS) dan Hyundai (Korea Selatan) yang pernah menaja Manchester United.

Walaupun teruja, namun menurut Pengerusi PERODUA, pihak mereka tidak harus terburu-buru dalam membuat keputusan dan perlu mengambil kira pelbagai faktor agar tidak merugikan mana-mana pihak. Antaranya faktor luaran dan dalaman, serta adakah PERODUA harus memberikan keutamaan kepada bola sepak tempatan.
Selain itu juga, Tan Sri Asmat Kamaludin turut sempat berseloroh dan berkongsi bahawa beliau sebenarnya penyokong kelab Arsenal. Jadi, jika beliau bersetuju dengan tawaran Manchester United maka beliau akan rasa ianya tidak adil buat Arsenal.
P/S: Sebagai rakyat Malaysia, anda setuju atau tidak?
