Mercedes-Maybach S 580 4MATIC Dilancarkan Di Malaysia. Merecik Tengok Kabin dan Harga

Sub jenama paling mewah daripada Mercedes-Benz iaitu Mercedes-Maybach S 580 4MATIC telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Sekilas pandang, rekabentuknya memang serba mewah dan harganya sudah tentu di luar kemampuan iaitu bermula daripada RM 1.9 juta! Tetapi sesuai dengan rekaan dan harganya kerana ada yang mengatakan model Mercedes-Maybach S 580 4MATIC ini mampu membuatkan pemilik Rolls-Royce atau Bentley sendiri iri hati. Merecik sangat kot.
Mengikut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien, “Ketika kami meraikan ulang tahun ke-100 Maybach, kami kekal komited untuk memacu jenama dan menetapkan standard tertinggi dari segi gaya, keselesaan dan kualiti pertukangan luar biasa.”

Bila kita sebut tentang kualiti pertukangan, sememangnya model ini membuktikan rekaan dan seni model ini sangat berbeza, unik dan elegan dengan kemasan cat dua tona dan garis pemisahnya yang dilukis dengan menggunakan tangan.
Didatangkan dengan 9-kelajuan 9G-Tronic automatik, Mercedes-Maybach S 580 4MATIC mampu menghasilkan 503 kuasa kuda dan 700 Nm tork. Selain mampu memecut dari 0 sehingga 100 km/j dalam hanya 4.8 saat, kelajuan maksimum kereta ini pula adalah sekitar 250 km/j. Sesuai dengan saiz dan kemampuannya, kereta ini menggunakan di antara 10.2-liter hingga 10.9-liter minyak bagi setiap 100 km. Jimat minyak atau tidak, itu sebenarnya bergantung kepada kemampuan seseorang itu sendiri. Bak kata orang, kalau seseorang itu mampu beli kereta yang bernilai jutaan ringgit, tahap pembakaran minyak kereta itu bukan satu isu yang besar. Betul tak?


Terdapat lima skrin berdefinisi tinggi di bahagian kabin, yang mana terdapat kluster meter 3D dengan saiz 12.3 inci pada bahagian pemandu selain paparan OLED 12.8 inci pada bahagian konsol tengah. Selain itu, terdapat 64 lampu ambien yang boleh ditukar mengikut citarasa pemiliknya dengan dua tema warna yang sangat unik; rose gold white dan amethyst glow. Walaupun model ini tidak didatangkan dengan system bunyi Burmester 4D, namun terdapat 15 speaker di dalam kereta ini dengan kuasa 710 watts.
Bagaimana pula dengan sistem keselamatan kereta ini? Menariknya, kereta ini dilengkapi dengan beg udara hadapan dan belakang selain turut mempunyai beg udara pada kusyen tempat duduk belakang untuk memastikan kereta ini tidak tenggelam sekiranya terjatuh ke dalam air. Itu belum lagi termasuk beg udara di sisi belakang dan beg di tali pinggang yang membuatkan jumlah keseluruhan beg udara di dalam kereta ini ialah 4 beg udara! Hebat bukan?
Bentuk rekaan luaran dan dalaman memang dah cantik dan ekslusif, keselamatan pula memang tiptop. Jadi kalau anda adalah daripada golongan kayangan (VVIP) yang rasa mampu untuk memiliki jentera hebat ini, boleh la buat tempahan sekarang dengan harganya yang mencecah RM 1.928 juta seunit.





