6 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Untuk Redah Banjir. No. 5 Tu Boleh Buat Enjin Hancur.

Hujan lebat di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur agak membimbangkan. Banjir semakin buruk sehinggakan ada daerah tertentu yang terputus hubungan dan bilangan mangsa juga kian meningkat. Jadi, sekiranya anda salah seorang penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir, apa yang harus anda lakukan sekiranya anda TERPAKSA redah banjir dalam situasi tertentu?
Di sini Automology ingin kongsikan beberapa perkara penting atau tips ringkas untuk anda jadikan sebagai panduan. Mungkin berguna untuk anda di masa hadapan sekiranya anda juga terpaksa meredah air banjir:
1. Jangan Terlalu Yakin.
Setiap individu yang sedang melalui saat getir semasa banjir dinasihatkan supaya jangan terlalu yakin untuk meredah banjir. Anda bakal berhadapan dengan risiko tinggi yang boleh menyebabkan anda terkandas di tengah-tengah banjir. Sikap anda yang tetap degil untuk meredah banjir untuk meneruskan perjalanan itu bukan sahaja boleh mengundang bahaya, malah boleh meragut nyawa. Anda kata anda pandai berenang? Bagaimana pula jika anda perlu berhadapan dengan kepala air atau banjir kilat? Air banjir bukan setenang air di kolam renang yang anda boleh berenang macam kupu-kupu yea.
2. Kenali Kebolehan Kenderaan Anda Terlebih Dahulu.

Sebelum anda meredah banjir di hadapan, pastikan anda kenal dahulu kebolehan kenderaan yang anda naiki. Sekiranya anda melihat kenderaan tinggi seperti SUV atau trak pikap meredah banjir dengan selamat, jangan terlalu yakin anda juga boleh melepasi air tersebut. Ingat, lain kenderaan lain tahap meredah air (wading depth). Paling selamat pastikan air tidak melepasi suku atau separuh ketinggian tayar kenderaan anda (air mesti lebih rendah daripada kedudukan ekzos).
3. Jaga Kelajuan.
Pastikan anda menggunakan gear rendah dan sentiasa menjaga kelajuan kenderaan anda supaya tidak melebihi 20 km/j. Tapi awas! Jangan pula terlalu perlahan kerana ‘bow wave’ atau ombak haluan yang terhasil di depan kenderaan anda akan menghasilkan satu ruang vakum yang mungkin akan mencegah air menghampiri kawasan liang kemasukan udara. Anda juga dinasihatkan supaya jangan lepaskan minyak dan teruskan revving enjin untuk mengelakkan kenderaan anda dimasuki oleh air melalui ekzos dan kotak angin. Antara perkara paling penting adalah anda perlu tenang, jangan panik dan sentiasa peka pada keadaan sekeliling. Ini kerana sekiranya anda panik, anda berkemungkinan akan memandu sedikit laju dan mengakibatkan aquaplaning iaitu tayar kenderaan berada di atas air ATAU tayar tidak menyentuh permukaan jalan atau terapung.
- Kenderaan automatik perlu kekalkan pada gear D atau gear rendah.
- Kenderaan manual perlu kekalkan gear (jangan tukar-tukar gear)
4. Jaga Jarak Selamat Dengan Kenderaan Hadapan.
Jangan ikut rapat kenderaan hadapan! Perbuatan ini bukan sahaja bahaya di jalan raya biasa malah ianya juga bahaya apabila anda meredah banjir. Ketahuilah bahawa hasil kajian pakar mengatakan bahawa air tidak akan menjadi rendah jika kita ikut rapat kenderaan hadapan. Bahkan, anda juga mempunyai potensi untuk hanyut kerana kereta anda boleh terangkat dari bahagian belakang akibat ombak air yang terhasil. Selain itu, jika anda ikut rapat, anda akan tersangkut di dalam banjir jika kereta hadapan pun tersangkut. Faham?
5. Jangan Cuba Hidupkan Enjin Yang Mati.
Sekiranya semasa anda meredah banjir dan enjin kereta tiba-tiba mati, jangan cuba hidupkannya semula. Sekiranya anda memaksa kenderaan anda untuk hidup semula, lebih banyak air akan masuk dan air tersebut boleh menyebabkan hampir kesemua komponen di dalam kereta anda rosak termasuk enjin dan juga transmisi. Sekiranya ini terjadi, kenderaan anda akan menjadi ‘hydrolocked’ dan kos untuk membaikinya sama mahal dengan beli kereta baru!
6. Peka Dengan Keadaan Sekeliling Dan Tahu Bila Anda Harus Tinggalkan Kenderaan Anda Dengan Segera.
Apabila memandu dan anda dapat rasakan bahawa kenderaan yang anda pandu itu mula ‘terapung’ atau hilang kawalan, sila segera tinggalkan kenderaan anda. Pastikan anda terus keluar daripada kenderaan tersebut dan lari ke tempat yang lebih selamat. Anda perlu tahu bahawa air setinggi lebih 6 inci sudah mampu untuk menghanyutkan dan kenderaan anda berpotensi untuk terbalik. Sebab itu ramai mangsa lemas apabila kereta hanyut kerana mereka tidak lagi mampu mengawal kenderaan mereka.



