70 Tahun, Satu Nilai: Bagaimana Lee Motors Sdn Bhd Membina KEPERCAYAAN.

Pada pandangan pertama, Superhuman Café yang terletak di dalam Lee Motors Sdn Bhd mungkin nampak seperti cafe biasa. Kopi yang sedap, makanan sihat, dan tempat selesa untuk menunggu sementara kereta kena servis. Tetapi apabila meluangkan sedikit masa bersama Pengarah Urusan mereka, Encik Eugene, barulah jelas bahawa cafe ini sebenarnya jelas mencerminkan cara beliau melihat sesebuah perniagaan.

Bagi beliau, dari dahulu lagi, perniagaan ini bukan sekadar menjual kereta.

“Kami bukan sekadar menjual kereta. Kami memberi tumpuan kepada hubungan dan kesetiaan,” katanya dengan tenang. Kedengaran ringkas, tetapi ayat itu membawa makna besar bagi sebuah syarikat yang telah bertahan lebih 70 tahun.

Lee Motors bermula sebagai sebuah bengkel motosikal kecil yang diasaskan oleh datuknya pada tahun 1955. Dari situ, ia berkembang menjadi satu ekosistem automotif yang lengkap, daripada Proton dan Honda sehinggalah BMW, Volkswagen dan BYD, termasuk perkhidmatan baik pulih badan dan cat, pajakan, serta pelbagai lagi. Perkembangan ini bukan didorong oleh strategi yang agresif, tetapi berlaku secara semula jadi melalui peluang yang sesuai dengan arah perniagaan mereka.

Dan jika ada satu perkara yang sering ditekankan oleh Encik Eugene, ia adalah satu perkataan ini: KEPERCAYAAN.

“Tanpa kepercayaan, sesuatu perkara itu tidak akan berjalan,” katanya secara terus terang. “Tetapi kepercayaan mengambil masa. Sekurang-kurangnya sepuluh tahun untuk benar-benar mengenali dan mempercayai seseorang.”

Falsafah ini bukan sahaja terpakai dalam kalangan kakitangan, yang kebanyakannya telah berkhidmat lebih daripada sedekad, malah turut melibatkan pelanggan.

Di tempat seperti Alor Setar, di mana Lee Motors sudah menjadi nama yang dikenali ramai, KEPERCAYAAN itu bersifat turun-temurun. Pelanggan bukan sekadar pembeli kali pertama, tetapi sering terdiri daripada keluarga yang kembali semula, daripada ibu bapa kepada anak-anak, malah hingga ke datuk dan nenek, semuanya mempunyai hubungan dengan pengedar yang sama.

Perkara seperti ini tidak boleh dibina dalam masa yang singkat.

Menariknya, Encik Eugene sendiri tidak membesar sebagai peminat kereta. Minat itu terbentuk secara semula jadi melalui pengalaman hampir dua dekad dalam industri automotif. Dikelilingi oleh kereta, pelanggan dan perbualan tentang industri automotif setiap hari, minat itu akhirnya berkembang.

“Bila kita suka apa yang kita buat, semuanya jadi lebih mudah,” katanya. “Kalau kita anggap ia sekadar perniagaan, rasa dia memang lain.”

Pendekatan ini jelas dapat dilihat dalam perkara-perkara kecil, termasuk pilihan gaya beliau sendiri iaitu daripada cufflinks berbentuk ekzos sehinggalah cara beliau bercerita tentang kereta peribadinya, sebuah BMW 6 Series GT yang sudah digunakan bertahun-tahun kerana masih cukup memenuhi keperluannya.

Walaupun begitu, beliau tetap berpijak di bumi nyata. Beliau mengakui Porsche 911 ialah kereta impiannya, namun buat masa ini beliau lebih mengutamakan keperluan dan tanggungjawab kewangan.

“Aliran tunai dan tanggungjawab lebih penting sekarang. Mungkin satu hari nanti, impian itu akan jadi kenyataan.”

Cara pemikiran yang sama turut diterapkan dalam pengurusan Lee Motors hari ini. Walaupun mengendalikan pelbagai jenama dan operasi, beliau tidak menguruskan semuanya secara langsung. Sebaliknya, beliau membina pasukan dan memberikan kepercayaan kepada mereka.

Namun begitu, kepercayaan itu bukan diberikan secara membuta tuli.

Dalam pandangan beliau, KEPERCAYAAN perlu dibina secara berperingkat, diperkukuh dari semasa ke semasa, dan sentiasa dijaga.

Walaupun terdapat pengurus yang berpengalaman dalam setiap bahagian, beliau masih turun padang apabila perlu. Ada kalanya beliau sendiri memperkenalkan pelanggan kepada penasihat jualan, sambil memerhati secara senyap pengalaman yang dilalui pelanggan tersebut.

Akhirnya, walaupun margin keuntungan semakin mengecil, persaingan semakin sengit, dan industri sentiasa berubah, matlamat mereka tetap sama.

“Untuk menjadi pengedar kereta yang paling dipercayai, dengan perkhidmatan pelanggan yang terbaik.”

Sama ada melalui pengalaman pembelian kereta yang lancar atau sekadar secawan kopi yang enak di tingkat atas, setiap sentuhan kecil dirancang untuk mengukuhkan janji tersebut.

Bagi Lee Motors Sdn Bhd, KEPERCAYAAN bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada segala yang mereka bina hari ini.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *