Proton S70 Jadi Teksi Madani, Kenapa ada yang ‘Panas’?

Kalau korang buka Threads atau Facebook sejak beberapa hari lepas, memang susah nak lari daripada topik Proton S70 jadi Teksi Madani. Ada yang kata bangga sebab teksi negara akhirnya naik taraf. Ada pula yang meluahkan rasa “malu”, malah siap ada yang bergurau kononnya “menyesal beli S70”.

Persoalannya, apa sebenarnya yang membuatkan ramai begitu terkesan?

Hakikatnya, Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bukan sekadar memperkenalkan Proton S70 sebagai teksi baharu. Objektif utama program ini ialah memodenkan industri teksi negara, memberi peluang kepada pemandu memiliki kenderaan sendiri, serta meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan agar mampu bersaing dengan e-hailing.

Namun, seperti biasa, netizen lebih tertumpu kepada model kereta berbanding matlamat program.

Menariknya, ramai pengguna Threads mempersoalkan reaksi segelintir pemilik S70. Ada yang bertanya, “Kenapa bila kereta sama dengan teksi terus rasa malu?” Malah ada yang meninggalkan komen yang cukup bernas, “Bukan S70 yang downgrade jadi teksi, tapi teksi yang upgrade ke S70.”

Kalau difikirkan semula, ada logiknya juga.

Di negara seperti Jerman, Mercedes-Benz sudah lama menjadi teksi. Di Turki pula, Volkswagen Passat sering digunakan sebagai teksi. Singapura pula menggunakan Toyota Corolla, Hyundai Ioniq dan beberapa model lain untuk perkhidmatan teksi serta e-hailing. Anehnya, pemilik kereta di negara-negara tersebut tidak pula menganggap model mereka hilang nilai hanya kerana dijadikan kenderaan awam.

Sudah tentu ada juga kritikan yang lebih praktikal. Ada yang mempersoalkan penggunaan minyak S70, kos penyelenggaraan enjin turbo serta ruang bonet sedan yang mungkin kurang sesuai untuk membawa banyak bagasi, khususnya bagi operasi ke lapangan terbang. Perbincangan seperti ini memang wajar kerana ia berkaitan dengan kos operasi dan kesesuaian penggunaan harian.

Tetapi apabila alasan yang diberikan ialah “malu sebab kereta jadi teksi”, mungkin isu sebenarnya bukan pada Proton S70.

Mungkin yang masih belum berubah ialah persepsi kita sendiri terhadap kerjaya pemandu teksi dan pengangkutan awam.

Lagipun, kalau sebuah Mercedes boleh jadi teksi tanpa menjatuhkan imejnya, kenapa Proton S70 perlu dipandang berbeza? Mungkin sudah tiba masanya kita melihat teksi sebagai satu perkhidmatan yang sedang dinaik taraf, bukannya sesuatu yang perlu dipandang rendah.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *