Team Mitsubishi Ralliart Pertahan Gelaran AXCR 2026, Triton Sekali Lagi Jadi Juara


Kalau ada yang masih menganggap Mitsubishi Triton sekadar kenderaan untuk angkut barang dan redah jalan ladang, kemenangan terbaru ini mungkin boleh mengubah sedikit pandangan.
Team Mitsubishi Ralliart (TMR) sekali lagi membuktikan kemampuan Triton apabila muncul juara keseluruhan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 di Thailand. Lebih menarik, kemenangan itu hadir untuk tahun kedua berturut-turut, menjadikan Triton juara bertahan dalam salah satu perlumbaan rali rentas negara paling mencabar di Asia.
Di sebalik kemenangan tersebut ialah gandingan Jepun, Katsuhiko Taguchi sebagai pemandu dan Takahiro Yasui sebagai co-driver. Mereka turut mencipta sejarah sebagai pasangan pemandu dan co-driver dari Jepun pertama yang memenangi keseluruhan AXCR.
Rali kali ini bukan sekadar tentang siapa paling laju. Laluan AXCR terkenal dengan kombinasi permukaan yang mencabar, termasuk jalan tanah, lumpur dan laluan lasak yang menguji ketahanan jentera serta kemahiran pasukan.

Bagi Mitsubishi Motors, kemenangan ini juga menjadi medan penting untuk membuktikan kemampuan Triton dalam keadaan sebenar yang jauh lebih ekstrem berbanding penggunaan harian.
Malah, Mitsubishi turut menerbitkan kisah di sebalik pembangunan Triton dan bagaimana pengalaman menyertai perlumbaan membantu membentuk keupayaan serta falsafah pembangunan kenderaannya.
Dengan dua kemenangan berturut-turut, Team Mitsubishi Ralliart AXCR 2026 bukan sekadar menambah satu lagi trofi. Ia menjadi bukti bahawa pengalaman di pentas rali masih mempunyai peranan besar dalam menguji dan membangunkan sebuah pickup moden.
Dan nampaknya, Triton masih belum selesai menunjukkan taringnya.




