ICAUR 03 IWD: SUV ELEKTRIK SADO YANG BERJAYA CURI HATI KAUM HAWA.


Selepas hampir seminggu memandu iCAUR 03 iWD, saya harus akui SUV elektrik ini berjaya mencuri hati saya. Bukan sekadar kerana reka bentuknya yang comel, tetapi juga ciri-ciri praktikal yang cukup memahami keperluan seorang wanita.
Menariknya, apabila saya berkongsi pengalaman memandu iCAUR 03 dari perspektif seorang wanita di akaun TikTok peribadi saya, rata-rata yang meninggalkan komen ialah kaum Hawa. Ramai yang mengakui kereta ini terlalu comel sehingga terus masuk dalam wish list mereka! Awww..
Nampaknya, bukan saya seorang yang terpikat dengan penampilannya.

Comel di Luar, Praktikal di Dalam
Dengan reka bentuk berkotak, badan bulky dan karakter yang cukup sado, iCAUR 03 mempunyai daya tarikan tersendiri. Warna putih pada unit yang saya pandu pula membuatkan penampilannya kelihatan lebih comel dan menyerlah. Satu kejutan menarik ialah kotak pada pintu belakang. Pada mulanya saya sangka ia tempat menyimpan tayar ganti, rupanya sebuah storage box tambahan!
Melangkah masuk ke kabin, konsep minimalis dan moden terus menarik perhatian. Skrin infotainmen yang besar juga agak mesra pengguna. Namun, perkara paling menggembirakan saya ialah banyaknya ruang penyimpanan, terutama compartment di antara dua kerusi hadapan yang sesuai untuk meletakkan tas tangan. Sebagai wanita, ini memang satu kelebihan! Tak perlu lagi meletakkan beg di kerusi penumpang dan juga rasa lebih selamat.

Antara ciri kegemaran saya ialah fungsi urutan dengan lima mod pada kedua-dua kerusi hadapan. Bayangkan selepas seharian bekerja, memandu jauh atau ketika badan lenguh sewaktu datang bulan, dapat pula menikmati urutan sambil memandu. Memang terasa dimanjakan! Memang syok sangat sambil memandu, dapat pakej urutan sekali.
Selain itu, iCAUR 03 turut mempunyai Nap Mode dengan bunyi ombak dan burung berkicauan. Sesuai untuk menikmati sedikit masa berehat ketika kereta diparkir dengan selamat. Bagi pemilik haiwan peliharaan pula, Love Pet Mode membantu mengekalkan suhu kabin apabila haiwan perlu ditinggalkan sebentar, dengan pemantauan dan langkah keselamatan yang sewajarnya.
Anak-Anak Suka, Ibu Pun Senang Hati
Sebagai seorang ibu, keselesaan keluarga sentiasa menjadi keutamaan saya. Ruang kerusi belakang iCAUR 03 cukup luas, terutama ruang kaki yang memberikan keselesaan tambahan kepada penumpang. Anak-anak saya sendiri menyukai reka bentuknya yang comel dan berasa selesa sepanjang perjalanan.
Namun, ada satu lagi perkara yang membuatkan saya lebih menghargai kepraktisan SUV ini. Saya mempunyai seorang ibu yang menggunakan kerusi roda, jadi ruang penyimpanan yang luas bukan sekadar bonus, tetapi satu keperluan apabila keluar bersama keluarga.
Ruang but berkapasiti 450 liter dengan reka bentuk petak sangat menarik perhatian saya kerana memudahkan penyusunan barang, termasuk kerusi roda lipat jika dimensinya bersesuaian. Bagi mereka yang menjaga ibu bapa atau ahli keluarga dengan masalah mobiliti, kemudahan memasukkan dan mengeluarkan peralatan seperti ini sememangnya sesuatu yang sangat dihargai.

Bagi saya, kereta yang sesuai untuk keluarga bukan hanya tentang keselesaan memandu, tetapi sejauh mana ia memudahkan kita menjaga insan tersayang.
Paling Best, Memang Seronok Dipandu Dalam Bandar!
Walaupun penampilannya lasak, saya paling menikmati iCAUR 03 sebagai kereta harian dalam bandar. Pemanduannya lancar, responsif dan selesa ketika mengharungi kesesakan Kuala Lumpur. Kedudukan pemanduan yang tinggi turut memberikan rasa yakin di jalan raya.
Selepas hampir seminggu bersama iCAUR 03 iWD, saya faham mengapa ramai kaum Hawa di Malaysia turut jatuh hati dengannya. Ia bukan sekadar SUV elektrik yang cantik dipandang, tetapi juga praktikal untuk wanita, ibu dan keluarga moden.
Sado di luar, comel di mata, praktikal untuk seisi keluarga. Tidak hairanlah iCAUR 03 iWD berjaya masuk dalam wish list ramai wanita, termasuk saya!





