Aktiviti Off-Road 4X4 Rosakkan Jalan Perkampungan Orang Asli Gua Musang

Kebiasaannya, individu yang memiliki trak pikap atau pacuan empat roda suka menguji keupayaan jentera mereka. Samada masuk berkelah di kawasan ‘rare’ atau juga melakukan aktiviti sukan lasak ‘off-road’, mereka akan suka melalui laluan yang sukar. Lagi banyak lumpur dan berbatu, lagi bagus!
Namun di sebalik kegembiraan kita melakukan aktiviti seumpama itu, ada satu benda yang kita sering terlepas pandang. Adakah laluan off-road yang kita gunakan sebagai ‘pentas’ aktiviti off-road kita itu tidak digunakan atau boleh mendatangkan kesusahan kepada penduduk setempat? Rupa-rupanya memang menyusahkan!

Sama seperti apa yang berlaku kepada masyarakat Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, khususnya di kawasan Pos Balar, Pos Tohoi dan Pos Gob ini. Menurut mereka, aktiviti lasak seumpama itu di laluan keluar masuk ke kampung mereka telah menyebabkan jalan rosak dengan teruk sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka. Malah, penduduk kampung itu juga turut merayu supaya tiada lagi aktiviti sukan lasak di kawasan mereka lebih-lebih lagi sepanjang musim tengkujuh nanti.
Bayangkan, ada penduduk masyarakat Orang Asli itu juga mengadu bahawa mereka terpaksa menempuh perjalanan yang semakin sukar dan memakan masa sehingga 12 jam jika ingin ke bandar Gua Musang. Kata mereka lagi, kadang-kala mereka perlu mendaki selama tiga jam jika menggunakan jalan berlumpur dan berbukit dengan motosikal walaupun jaraknya hanya 100 meter.
Selain daripada itu, ada juga penduduk kampung yang berharap agar orang luar tidak bersikap mementingkan diri sendiri kerana walaupun mereka seronok dengan aktiviti off-road, mereka kena sedar bahawa penduduk kampung yang berdepan risiko lebih-lebih lagi jika berlaku situasi kecemasan.

Selepas menerima aduan daripada penduduk setempat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu telah memaklumkan bahawa mereka akan melakukan penutupan sementara dari simpang Pos Simpor ke Pos Gob dan hanya pengguna motosikal dan pacuan empat roda bagi kes kecemasan sahaja yang akan diberikan keizinan untuk menggunakan jalan itu. Jadi bagi yang baru rancang nak redah ke sana tu, sila batalkan hasrat anda dan cari laluan off-road lain yang tak menyusahkan penduduk setempat.




