Ferrari 296 GTB Kini Tiba Di Malaysia. Harga Bermula RM 1.228 Juta


Terima kasih Ferrari Malaysia kerana menjemput Automology ke majlis perasmian Ferrari 296 GTB!

Pada 28 Mac 2022, Naza Italia selaku pengedar rasmi Ferrari di Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan Ferrari 296 GTB. Ini merupakan evolusi terbaru Berlinetta dua tempat duduk dengan enjin pada bahagian tengah belakang yang sudah pasti menjanjikan pengalaman baru yang mendebarkan dan menyeronokkan.

Mengikut Ketua Pegawai Eksekutif (Group CEO) Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Dato’ Nik Hamdam Nik Hassan, Ferrari 296 GTB merupakan antara rekaan yang menentukan era baharu teknologi elektrik Ferrari. Inilah model pertama Ferrari pacuan roda belakang dengan enjin hybrid pertengahan V6. Selain rekabentuk yang unggul dan penggunaan teknologi yang serba canggih, sudah tentu Ferrari 296 GTB mampu memukau sesiapa sahaja dan oleh itu, pihak Naza Italia juga sangat berbesar hati untuk memperkenalkan model ini kepada pasaran Malaysia.

Sebenarnya, Ferrari 296 GTB membawa revolusi tulen kepada Ferrari kerana model ini diperkenalkan dengan jenis enjin hybrid baharu: 120° V6 yang mampu menjanakan 654hp digabungkan dengan motor elektrik yang mampu memberikan tambahan 122 kW (atau 167 cv). Bayangkan, dengan gabungan motor elektrik yang jitu, jumlah keluaran sistem ialah sehingga 830 PS pada 8,000 rpm dan 740Nm tork pada 6,250rpm.

Ferrari 296 GTB dikatakan mampu memecut lebih laju daripada Ferrari F8 iaitu dengan kelajuan 2.9 saat (0-100km/j). Malah, dengan teknologi daripada program F1 Ferrari, bateri 7.45 kWH mampu memacu jentera ini dengan kuasa elektrik sahaja untuk 25 km pada kelajuan sehingga 135 km/j. Menariknya, selain prestasi yang lebih jitu, ia juga mampu menghasilkan runut bunyi yang lebih inovatif dan unik.

Bagi yang bertanya tentang maksud di sebalik nama Ferrari 296 GTB, sebenarnya ia merupakan gabungan jumlah anjakannya (2.9L) dan bilangan silinder enjin (6 silinder) selain meletakkan akronim GTB yang membawa maksud Gran Turismo Berlinetta. Secara tidak langsung, ia memberikan gambaran bahawa model ini turut membawa kepada era V6 baharu yang berakar umbi dalam pengalaman lebih 70 tahun Ferrari yang tiada tandingannya dalam sukan permotoran.

Untuk pengetahuan, ini bukan model Ferrari V6 yang pertama. Terdahulu pernah diperkenalkan pada tahun 1957 model yang mempunyai enjin 1500cc, iaitu Dino 156 F2, dengan tempat duduk tunggal. Kemudian, pada tahun 1958, model 196 S dan model 296 S dan juga kereta F1 seperti 246 F1 yang memacu Mike Hawthorn untuk menjuarai F1 Drivers’ Championship pada tahun yang sama. Beberapa tahun kemudian, iaitu pada 1961, Ferrari memperkenalkan model pertama mereka yang menggunakan enjin V6 yang dipasang di bahagian tengah, iaitu model 246 SP, yang melayakkan mereka menjuarai Targa Florio pada tahun 1961 dan 1962. Malah pada tahun 1961 juga, Ferrari memenangi F1 Constructors’ Title untuk kali pertama dengan 156 F1 yang menggunakan enjin V6.


Bagaimana pula dengan reka bentuk luaran? Ianya ialah sebuah Ferrari. Sudah tentu kelibatnya sahaja mampu mencairkan hati peminat kereta di seluruh dunia! Menariknya, rekaan Ferrari 296 GTB adalah lebih moden dan unggul namun masih turut mempunyai ciri model klasik seperti model Ferrari 308 dan 328 GTS. Dengan rekaan yang sedikit lebar dan rendah, antara ciri lain yang ketara adalah reka bentuk diffuser yang lebih agresif selain saluran penyejuk brek yang menonjolkan reka bentuk sporty dan mewah.

Untuk bahagian dalaman pula, kokpit Ferrari 296 GTB dibangunkan mengikut konsep digital interface sepenuhnya yang pertama kali diperkenalkan di dalam SF90 Stradale. Hasilnya, Ferrari 296 GTB menonjolkan konotasi tulen yang lebih minimalis dan anggun yang turut mencerminkan reputasinya.

Pada harga bermula daripada RM 1.228 juta (sebelum insurans, cukai, duti dan modifikasi).

Jika anda antara yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Ferrari 296 GTB, anda boleh dapatkan semuanya melalui laman Facebook rasmi: http://www.facebook.com/ferrari.nazaitalia atau mengikuti Instagram mereka di @ferrari.nazaitalia.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *