
Sudah acap kali kita dengar tentang kereta jahanam dikerjakan oleh bengkel atau mekanik yang tidak bertanggungjawab. Terbaru, seorang wanita telah memuat naik satu video berdurasi satu minit enam saat di Tiktok @ain_jeman.
Dalam video tersebut, wanita itu sebak dan marah apabila kereta Proton Wira miliknya hanya tinggal rangka dan tersadai bersama beberapa kenderaan lain di bengkel tersebut. Lagi mengejutkan, Ain juga mendakwa dia telah membayar sehingga RM 12,000 secara ansuran kepada pihak bengkel. Namun selepas pihak bengkel gagal memberi kerjasama selain selalu memberikan alasan tentang perkembangan keretanya, Ain telah bertindak dengan menerjah bengkel itu.
Hasil terjahannya mendapati bukan sahaja kereta Proton Wira miliknya tersadai, malah enjin juga hilang bersama beberapa bahagian dalaman yang lain. Bila dilihat, rasanya mekanik tak bertanggungjawab tu dah jual sebahagian daripada keretanya sebagai alat ganti. Sekarang kan susah nak dapat alat ganti kereta Proton Wira, jadi tak hairan jika kereta model ni juga selalu jadi antara kereta paling kerap dicuri di Malaysia.

Susulan perkongsian wanita itu, ramai orang yang kongsikan pengalaman mereka berkaitan ditipu oleh ‘bengkel neraka’. Ada juga yang menasihati wanita terbabit untuk segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis selain turut membuat laporan kepada pihak KPDNHEP. Jadi bolehlah dia minta borang tribunal saman di mahkamah tribunal selain boleh dapat ganti rugi sehingga RM 50,000! Mungkin ramai tak tahu kan?
Teringat pula dulu pun pernah kena dengan bengkel neraka ni. Habis ditukarnya dashboard Perodua Myvi. Sampaikan pencucuh rokok kereta pun ditukar dengan yang buruk. Bila disoal mekanik tak mengaku. Mana mungkin pencucuh rokok jadi buruk sedangkan pemilik kereta tak merokok. Menipu pun agak-agak la!




