Honda Tutup Kilang Besar Untuk Fokus Pada Kenderaan Elektrik


Sebelum ini, pihak Honda pernah mengumumkan bahawa mereka bakal beralih sepenuhnya pada tahun 2040 kepada pengeluaran kenderaan elektrik (EV). Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika hujung tahun 2021 baru-baru ini kita dapat saksikan mereka telah membuat keputusan untuk menutup kilang besar atau ‘mother factory’ mereka di Sayama, Saitama, Jepun.

Mengikut CEO yang juga Presiden Honda, Toshihiro Mibe, mereka bukan sahaja akan menutup kilang besar tetapi pihak Honda juga akan menghentikan program F1 untuk mengurangkan kos dan selebihnya akan lebih fokus kepada pengeluaran kenderaan elektrik.

Untuk pengetahuan umum, kilang itu sudah pun beroperasi selama 57 tahun bermula dari tahun 1964 dan kilang itu juga menghasilkan model terkenal Honda seperti Accord dan juga Civic. Bayangkan selama lebih lima dekad kilang itu beroperasi dan mampu hasilkan 250,000 unit kenderaan jenama Honda setahun.


Menurut CEO Honda lagi, pihak Honda amat merindui semua detik bermakna di kilang tersebut namun mereka harus fokus pada apa yang terbaik untuk generasi masa hadapan. Mengikut laporan daripada Nikkei, walaupun kilang itu tidak lagi mengeluarkan kenderaan, namun mereka masih tetap beroperasi untuk pembuatan alat ganti atau bahagian kenderaan tertentu dan berkemungkinan ditutup sepenuhnya dalam masa beberapa tahun akan datang. Selepas penutupan sepenuhnya, operasi kilang besar itu akan beralih sepenuhnya ke kilang di Yorii, yang turut berada di sekitar Saitama. Maka, secara tidak langsung, semua tenaga kerja di kilang lama akan diserap ke kilang baru secara berperingkat.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *