Kayuh, Chill, Repeat! Ride & Refresh Subaru Memang Padu!

Beberapa hari lepas, kami dari Automology telah menyertai acara santai berbasikal Ride & Refresh anjuran Subaru Kota Damansara – Ipoh Auto City Sdn Bhd. Dalam acara ini, mereka berjaya mengumpulkan peminat sukan berbasikal dan komuniti Subaru dari pelbagai latar belakang – tidak kira muda atau sudah berusia, yang pasti mereka semua adalah golongan yang suka gaya hidup sihat dan aktif.

Bermula jam 7 pagi, hampir kesemua peserta Ride & Refresh sudah pun berkumpul di Subaru Kota Damansara, sambil disambut mesra oleh kru Subaru dan rakan penaja seperti BikeArtisans, Raytech dan juga X-1R. Sebelum memulakan kayuhan, para peserta akan diberikan taklimat ringkas tentang keselamatan – yelah, walaupun aktiviti berbasikal mereka di bawah pengawalan abang polis namun keselamatan semua orang harus dijaga!

Selepas itu, sekitar jam 8 pagi, kesemua peserta mula mengayuh dalam formasi santai, bermula di Subaru Kota Damansara. Cuaca pada pagi itu pula sangat nyaman dan tidak panas yang membuatkan kesemua peserta bersemangat untuk memulakan kayuhan dan terus mengekalkan momentum.

Yang penting, kayuhan mereka semuanya santai dan dapat dilihat kesemua peserta sempat berborak sambil berkayuh, ada yang sempat snap Insta Story dan tak putus dengan senyuman di sepanjang perjalanan. Bak kata salah seorang peserta, acara ini terasa seperti ‘Tour de Kota Damansara’! Selepas beberapa ketika, kesemua peserta perlu berkumpul di BikeArtisans di Elmina Lakeside Mall untuk rehat selama 30 minit sebelum memulakan kayuhan untuk kembali semula ke Subaru Kota Damansara.

Apa yang menarik tentang acara Ride & Refresh adalah ianya bukan tentang aktiviti sukan berbasikal yang biasa. Ini kerana apabila selesai pusingan, semua peserta kembali ke Subaru Kota Damansara untuk sesi ‘refresh’, makan dan turut berpeluang untuk melihat dan pandu uji model Subaru terkini, termasuk Subaru XV, Forester, WRX, BRZ dan Outback!

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CST Group, Datuk PR Chandran, selain mempromosikan gaya hidup aktif, acara ini juga turut dapat menjadi platform untuk Subaru Kota Damansara mendekati komuniti dengan lebih dekat serta berhasrat untuk menjadikan Ride & Refresh sebagai acara berkala dengan lebih ramai peserta, lebih meriah di lokasi seterusnya – Subaru Ipoh Auto City pula!

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *