Kongsi Panduan Penting Selepas Kemalangan Kecil. Ramai Yang Tak Tahu

Malaysia merupakan antara negara yang menduduki tempat teratas dari segi jumlah kemalangan jalan raya. Tidak kira jenis kenderaan yang digunakan, tragedi yang berlaku di jalan raya seolah sudah sinonim dengan rakyat kita. Pengguna jalanraya cuai? Bawa laju tak bertempat? Jalan berlubang? Atau salah takdir? Hmm…

Kalau kemalangan maut atau berskala besar anda mungkin dah biasa dengar kan? Tapi bagaimana pula cara nak ‘deal’ dengan kemalangan kecil. Contohnya kemalangan seorang diri akibat terlanggar batu yang tidak melibatkan kecederaan kepada orang lain?
1. PANGGIL AMBULANS DAN PIHAK PERONDA


Walaupun hanya kemalangan kecil tapi berlaku di lebuhraya utama yang sesak, anda dinasihatkan untuk menghubungi pihak ambulans dan peronda. Jangan anggap kerjaya abang peronda ni tak penting tau. Sebab mereka yang bertanggungjawab untuk ‘alert’ pengguna jalanraya lain dan menjaga lalulintas.
Ambulans buat apa kalau kemalangan kecil? Jangan pandang remeh! Orang kalau selepas kemalangan, memang agak pening-pening lalat dan panik. Kekadang tak perasan diri sendiri dah patah bahu. Cara terbaik ialah panggil ambulans dengan segera. Walaupun kita guna perkataan ‘segera’, korang kena ingat masa yang diambil oleh pihak ambulans untuk sampai di tempat kejadian memerlukan anda untuk tunggu sehingga 45 minit atau lebih dari sejam. Yeala, bukan anda sorang dalam keadaan sakit dalam bumi Malaysia ni. Jangan nak berlagak VVIP sangat. Bila mereka sampai, merekalah yang bertanggungjawab untuk tengok tahap kecederaan yang dialami. Sekiranya anda tetap bertegas kata anda okay dan nak guna kenderaan sendiri, anda kena sign surat mengatakan anda bertanggungjawab sepenuhnya atas kecederaan yang dialami.
2. PERGI HOSPITAL DENGAN SEGERA

Selepas kemalangan, tempat pertama korang kena pergi ialah hospital. Hospital mana korang pilih tu ikut suka la, cuma cepat-cepat pergi ke bahagian kecemasan. Jangan mengada nak balik rumah tukar baju, tidur dulu baru nak gerak ke hospital. Sebab masa, tarikh kejadian dan keputusan dari doktor yang merawat tu sangat penting. Nanti kang tak lepas claim insurans sebab kejadian semalam, tapi esoknya baru jumpa doktor. Kau dah kenapa?
3. HUBUNGI PIHAK INSURANS

Alang-alang tunggu giliran, boleh la call pihak insurans yang terlibat. Yeala, call pihak insurans kenderaan dan juga perubatan anda. Bagi detail yang diperlukan. Paling penting, gambar di tempat kejadian untuk rujukan. Masa ni sila rujuk pihak insurans yang terlibat. Masa ni juga anda akan tahu kecekapan agent insurans anda tu. Yang servis elok, memang laju. Yang serba cacamarba pun ramai. Pernah kes yang terjadi kat kenalan dulu, rupanya nama dia tak wujud pun dalam data syarikat insurans tu walhal bulan-bulan bayar on time. Rupanya agent songlap duit dia. Ni namanya sudah jatuh ditimpa tangga!
4. BUAT LAPORAN POLIS

Ini lagi satu kesalahan yang sering kita buat. Yang pertama, tersalah balai polis. Ini bukan macam nak buka buku merah untuk ibu mengandung. Yang tu kena ikut daerah mana korang tinggal. Kalau laporan polis bagi kes kemalangan ni lain, kena ikut daerah mana kejadian tu berlaku. Contohnya berlaku di lebuhraya Kajang, jangan pulak korang pergi melalak di Balai Polis Cheras. Faham tak faham?
Berkenaan membuat laporan dalam masa 24 jam tu, hanya untuk kemalangan yang tak melibatkan kecederaan tubuh badan (tak masuk hospital). Contoh terlanggar bumper kereta depan. Yang tu wajib lapor dalam 24 jam. Tapi kalau kemalangan seorang diri, sampai patah kaki tangan dan terpaksa dimasukkan ke dalam wad, anda boleh buat laporan polis selepas anda keluar dari hospital. Rasa musykil? Call pihak polis minta panduan. Ni zaman moden, bukan zaman kena pakai burung merpati nak bagi mesej. Okay?
5. BUAT TUNTUTAN DARI PIHAK PERKESO (SOCSO)

Perhatian, anda hanya boleh claim dari pihak PERKESO sekiranya kemalangan yang menimpa terjadi semasa:
a) Dalam perjalanan ke pergi atau balik dari tempat kerja;
b) Dalam perjalanan berjumpa pelanggan atau hantar barang (sebab kerja);
c) Dalam perjalanan waktu bekerja (lunch hour / waktu rehat yang dibenarkan).
Semua ni anda boleh claim di bawah Skim Bencana Pekerjaan. Ramai tak tahu bab ni. Rugi sungguh korang! Tau tak korang boleh dapat Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang MC? Contohnya, korang tak mampu kerja skurang-kurangnya 4 hari, korang akan dibayar sebanyak 80% dari gaji harian semasa MC tau tak? Contohnya gaji harian ialah RM 100. Kalau 80% tu dah kira RM 80. Kena pulak doktor bagi MC sebanyak 40 hari sebab patah tangan. Sila darab RM 80 dengan 40 hari? Bukan ke dah dapat RM 3200 kat situ?
Sekiranya anda didapati megalami hilang upaya kekal, anda boleh memohon Faedah Hilang Upaya Kekal dari PERKESO. Kadar bagi yang ni ialah 90% dari gaji harian purata. Maka tidak hairanlah ada kes yang mangsa berjaya buat tuntutan dan dapat bayaran sehingga berbelas atau berpuluh ribu. Alang-alang gaji setiap bulan ditolak untuk PERKESO / SOCSO kan. Takkan taknak claim? Tu hak anda.

