Click here for the English version of this topic.

Maserati kini sudah bersedia untuk memperkenalkan model terbaharu mereka, jentera ‘spyder’ yang unik dan mewah, pada 25 Mei 2022 yang secara rasminya dinamakan sebagai Maserati MC20 Cielo. Dalam Bahasa Itali, Cielo bermaksud ‘sky’ atau ‘langit’. Sesuai dengan jentera mewah jenis convertible, maka sudah tentu setiap kali bahagian bumbungnya dibuka, kita dapat melihat pemandangan langit yang indah. Selain itu juga, bertepatan dengan International Day of Light, jenama Trident ini turut mendedahkan bahawa nama kereta mereka itu dicirikan dengan “Sky Feeling” yang istimewa.

Jika anda sudah faham maksud di sebalik Cielo, namun bagaimana pula dengan MC20? Untuk pengetahuan, MC merupakan satu singkatan untuk Maserati Corse manakala nombor 20 pula merujuk kepada tahun 2020, yang juga tahun yang memulakan era baharu jenama itu. Sesuai dengan nama yang diberikan, model ini dibina khas untuk mereka yang sukakan pemanduan mewah yang menyeronokkan, selain masih mempunyai ciri khas sebuah kereta super sports sejati.
Antara perkara lain yang menarik tentang jentera baharu mereka ini adalah ianya merupakan model 100 peratus buatan Itali yang mana ia dibina di Makmal Inovasi Maserati di Modena dan dihasilkan di kilang bersejarah mereka di Viale Ciro Menotti.



