Petua Pewangi Kereta Guna Bahan Semulajadi. Semua Bawah RM 10

Kebanyakan antara kita memang akan menggunakan pewangi kereta atau air freshner yang dibeli di kedai untuk memastikan bau kereta kekal segar dan wangi. Namun ramai tak tahu bahawa tidak kira betapa ‘semulajadi’ bahan yang digunakan, namun kebanyakan pewangi kenderaan itu kebiasaannya memang akan mempunyai dua bahan utama iaitu Formaldehyde dan Phthalates yang sering dikaitkan dengan sakit kepala, mata berair, masalah sistem pernafasan dan paling teruk, kanser! Jadi, apa kata anda gunakan beberapa pewangi kereta di bawah yang dijamin 100 peratus semulajadi. Selain selamat, ianya juga menjimatkan. Bawah RM10 je.

1. Kopi

Siapa peminat kopi di sini? Aromanya cukup memikat. Bagi yang sukakan bau kopi boleh cuba petua ni. Caranya hanya dengan membalut serbuk atau biji kopi dalam kain dan dijadikan uncang. Nak gunakan uncang kopi yang sedia ada pun boleh. Cuma jangan letak serbuk kopi dalam mangkuk lepas tu biarkan atas dashboard sudah. Kalau tumpah, jenuh nak vakum. Apa-apa serbuk kopi pun boleh. Tak kisah apa jenis jenama pun.

2. Lemon

Banyak sungguh kegunaan buah lemon ni. Selain digunakan dalam masakan atau dibuat jus (lemonade), buah ini juga boleh dijadikan pewangi kenderaan semulajadi. Caranya sangat mudah. Ada yang hiris buah lemon dan letakkan dalam bekas kecil (kena tukar setiap 2-3 hari). Namun ada juga yang buat lemon spray dengan cara perahkan lemon bersama air dan sedikit cuka sebelum sembur pada bahagian dalaman kereta. Selain meninggalkan bau yang harum, spray ini juga mampu melawan kulat dan bau hapak. Cubalah!

3. Daun Pandan

Daun pandan ni turut dikenali sebagai ‘vanilla of the East’. Tengok sahaja dalam masakan atau kuih masyarakat kita. Memang rata-rata gunakan daun pandan. Untuk dijadikan pewangi kereta pula, anda boleh hiris kecil-kecil dan letakkan dalam uncang (ala-ala potpourri). Tapi kalau malas sangat, letak je atas dashboard atau seat kereta. Memang baunya sangat harum, jimat dan mudah!

4. Rempah 4 Sekawan


Apa itu rempah empat sekawan? Rempah ini terdiri daripada bunga cengkih, kayu manis, buah pelaga dan juga bunga lawang. Selain popular digunakan dalam menumis masakan, rempah ini juga boleh dijadikan pewangi kenderaan (bagi yang suka bau rempah la). Caranya adalah buat sama macam rempah sup bunjut tu, iaitu cuma perlu ikat dalam uncang dan biarkan dalam kenderaan anda.

5. Limau dan Cengkih


Sebenarnya petua ni sangat popular untuk halau lalat serta serangga lain. Selain itu bau yang dikeluarkan juga memang sangat harum! Caranya sangat mudah. Anda cuma perlukan limau nipis atau limau purut dan cucuk dengan cengkih. Nak potong dulu pun boleh, nak cucuk terus seperti dalam gambar pun okay. Kalau kereta anda berbau dan mempunyai lipas kecil tu, petua ni memang disarankan untuk anda! Sebab serangga seperti lipas, lalat, nyamuk serta semut kurang suka dengan bau dua bahan ni.

Tapi kan, ada juga yang kata cara ni boleh dijadikan sebagai ubat sementara untuk cegah Covid-19. Cuma sedut-sedut je. Betul ke? Eh, bentuk dia pun dah nak seakan Coronavirus la! Hm…

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *