
Kalau kita sembang tentang 4×4 di Malaysia, memang tak sah kalau tak cerita berkaitan aktiviti off-road, iaitu sejenis sukan permotoran lasak yang bukan sahaja boleh uji jentera masing-masing, tapi juga boleh uji kecekapan, teknik memandu serta semangat kerja berpasukan. Jika sebelum ini sukan 4×4 off-road tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia, namun macam mana lama-kelamaan ia boleh jadi satu komuniti yang agak besar dalam negara kita?

Bermula Dari Era 80-An.
Sejarah awal sukan 4×4 off-road di Malaysia bermula sekitar hujung tahun 1980-an hingga awal 1990-an. Pada waktu itu, terdapat banyak kawasan pedalaman yang sukar untuk dilalui, kecuali dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda seperti Land Rover Defender, Toyota Cruiser dan Mitsubishi Pajero. Jika pada mulanya sukan lasak ini kurang dikenali, namun lama-kelamaan ramai yang mula jatuh hati dengan aktiviti sukan 4×4 off-road ini sehingga akhirnya muncul beberapa nama besar seperti Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), Selangor Four Wheel Drive Club (SFWDC) dan Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA).

Dari Hobi Biasa Kepada Sukan Bertaraf Dunia.
Jika dulu aktiviti sukan permotoran 4×4 off-road hanya sekadar hobi biasa atau ada yang menggelarkannya sebagai ‘hobi orang kaya’, namun lama-kelamaan ia mula diterima ramai pihak sehingga munculnya acara besar-besaran dan sukan permotoran bertaraf dunia. Antaranya:
Rainforest Challenge (RFC Malaysia), iaitu salah satu cabaran off-road paling ekstrem di dunia. Ianya diasaskan oleh Luis J.A Wee dan pertama kali dianjurkan pada tahun 1997. RFC sebenarnya diinspirasikan dari konsep Camel Trophy di Amerika Selatan, namun untuk RFC ia membawa identiti Malaysia sendiri – hutan tropikal dan lasak. Terdapat 45 negara yang menyertai atau menganjurkan RFC Global Series termasuk Rusia, India Itali, Thailand, Vietnam, Filipina dan lain-lain namun untuk pusingan terakhir yang dikenali sebagai ‘The Grand Final’, ia akan dianjurkan di Malaysia.

Borneo Safari , iaitu acara tahunan di Sabah yang menggabungkan pengembaraan, perkhemahan dan kemanusiaan. Ianya mula dianjurkan pada tahun 1991 oleh Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) yang bermula sebagai satu ekspedisi eksplorasi hutan hujan di Sabah sebelum akhirnya berkembang menjadi antara sukan tahunan paling dinanti dalam dunia off-road Malaysia.
Jadi, adakah anda berminat dengan suka permotoran lasak sebegini? Jika ianya kena dengan jiwa anda, selain anda juga memiliki kenderaan pacuan empat roda 4×4, apa kata anda turut serta dalam acara tahunan yang bakal mereka anjurkan? Percayalah, apa yang anda lihat di YouTube atau TikTok, tidak seekstrim apa yang anda lihat di depan mata. Kalau nak lebih puas hati, masuk dulu mana-mana persatuan dan timba ilmu dan pengalaman sebelum lama-lama anda sendiri yang jadi peserta. Belum cuba, belum tahu. Kan?


