AirAsia Ride. Hanya RM1 Untuk Setiap Kilometer. Siap Boleh Pilih Pemandu Pramugari atau Pilot

Dahulu, sebut sahaja AirAsia semua pasti akan terbayang syarikat penerbangan tambang murah. Kini, AirAsia Group Bhd membuktikan bahawa mereka adalah sebuah syarikat multi-business dan terbaru, mereka telah memperkenalkan AirAsia Ride yang menyediakan perkhidmatan e-panggilan atau e-hailing bagi semua pelanggan di sekitar Lembah Klang. Kiranya, Grab kini mempunyai pesaing terbaru la.

Apa yang menarik tentang AirAsia Ride ni? Kini, lebih 1,500 pemandu telah pun mendaftar dengan AirAsia Ride, di mana kesemua pemandu mestilah telah melengkapkan dua dos vaksin. Selain itu, pemandunya juga turut akan mendapat Covid-19 self-test kits bersama hand sanitizers secara percuma untuk memastikan keselamatan pemandu dan penumpang.
Lebih menarik, kadar caj yang dikenakan pula agak berpatutan, iaitu sekitar RM 1 secara purata bagi setiap kilometer (tidak termasuk caj tol). Sebagai permulaan, kesemua pelanggan di sekitar Lembah Klang boleh menggunakan kod promo mereka, AARIDE3 sehingga 30 September 2021 untuk mendapatkan diskaun sebanyak RM3 untuk perjalanan pertama mereka.

Bagi pemandu yang berdaftar dengan AirAsia Ride pula, mereka bakal menerima 85 peratus tambang bersih, yang mana keuntungan tersebut adalah yang tertinggi berbanding syarikat e-hailing lain di pasaran. Selain itu, pemandu AirAsia Ride juga mampu menjana pendapatan tambahan dengan mengambil upah untuk menghantar bungkusan dan juga makanan AirAsia food. Patutlah ramai pemandu yang mendaftar dengan AirAsia Ride ni. Katanya jumlah pemandu akan meningkat sehingga 5,000 pemandu apabila mereka mula kembangkan perkhidmatan ini ke seluruh negara dalam masa enam bulan akan datang.

Apa lagi yang menarik tentang AirAsia Ride ni? Katanya, perkhidmatan ini turut memberikan pilihan untuk pelanggan mereka memilih pemandu termasuk Lady Drivers, memilih jenis kategori kereta selain pelanggan juga boleh memilih untuk membuat tempahan dengan ‘Allstar Ride’ yang akan dipandu oleh juruterbang atau kru kabin AirAsia. Bila lagi nak merasa giliran abang pilot memandu kereta kan? Dulu dia duduk dalam kokpit pesawat je masa bawa kapal terbang.




