
Saban hari semakin banyak kes kemalangan maut membabitkan motosikal di laluan lorong kecemasan. Antara kes yang banyak berlaku adalah apabila penunggang motosikal melanggar kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan dari arah belakang. Adakah puncanya disebabkan ramai beranggapan lorong kecemasan itu adalah lorong ekslusif penunggang motosikal sahaja? Sedangkan, lorong kecemasan itu sebenarnya merupakan kemudahan bersama yang sering digunakan oleh kenderaan yang berhenti akibat kerosakan.


Sebelum kita menjatuhkan hukum siapa salah dan siapa benar, ada baiknya kita faham dulu bahawa undang-undang dan keselamatan jalan raya itu adalah tanggungjawab bersama. Contohnya, jika kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan itu kerana kenderaannya rosak, maka tindakannya menggunakan lorong itu tidak salah. Jika dia juga menggunakan lorong kecemasan itu apabila lorong pintar atau rider diaktifkan, dia juga tidak bersalah. Namun jika kenderaan tersebut saja-saja menggunakan lorong kecemasan untuk cepat dan menggunakan lorong kecemasan ketika smart lane tidak diaktifkan, maka tindakannya itu salah. Faham?

Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia yang masih kurang peka dengan pengenalan smart lane terutama sekali pada waktu tertentu untuk mengatasi isu kesesakan jalan raya di musim perayaan atau cuti. Akibatnya, apabila ada kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan apabila smart lane diaktifkan, ramai yang menganggap tindakan pemandu itu salah. Sampai ada abang rider yang maki hamun tanpa sebab sampai tendang kereta dan sebagainya kerana dia anggap lorong itu hanya hak ekslusif untuk motosikal. Salah tu.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Sazali Harun berkata, kemudahan smart lane akan diperbanyakkan selain aspek keselamatan penunggang motosikal turut menjadi keutamaan. Jelas beliau lagi, kesedaran tentang kegunaan lorong kecemasan juga akan dipergiat supaya semua pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal cakna dan lebih berhati-hati ketika berada di lebuh raya.
P/S: Semoga semua pengguna jalan raya selalu berhati-hati dan bertolak ansur di jalan raya lebih-lebih lagi abang rider. Mereka inilah yang selalu menjadi orang pertama berhenti untuk tolong orang lain yang mengalami masalah kenderaan rosak. Salute!



