Audi Nuvolari: Dari Concept V10 2003 Ke Supercar Hybrid 2026


Dalam dunia automotif, bukan semua concept car berakhir di bilik pameran. Ada yang menjadi inspirasi kepada model produksi, ada yang terus dilupakan dan ada juga yang namanya muncul semula selepas lebih dua dekad. Audi Nuvolari merupakan salah satu daripadanya.
Kisahnya bermula pada tahun 2003 apabila Audi memperkenalkan Nuvolari quattro Concept di Geneva Motor Show. Sebuah luxury Grand Tourer dengan reka bentuk agresif, konfigurasi tempat duduk 2+2 dan teknologi yang agak luar biasa untuk zamannya.
Nama Nuvolari diambil daripada Tazio Nuvolari, legenda perlumbaan Itali yang pernah mewakili Auto Union pada era 1930-an. Beliau mencatat kemenangan Grand Prix terakhir untuk jentera Auto Union pada tahun 1939.
Tetapi perkara paling menarik mengenai concept car ini terletak di bawah bonet. Audi memasang enjin 5.0-litre V10 twin-turbo dengan FSI direct injection, menghasilkan 600 hp dan 750 Nm. Kuasa disalurkan kepada keempat-empat roda melalui sistem quattro dan transmisi automatik enam kelajuan.
Dengan kemampuan memecut dari 0–100 km/j dalam 4.1 saat, Nuvolari membuktikan bahawa Audi mempunyai cita-cita besar dalam segmen luxury GT. Namun, ia tidak pernah memasuki production dengan nama tersebut. Sebaliknya, beberapa elemen reka bentuk dan teknologi konsep ini menjadi inspirasi kepada perkembangan model Audi berikutnya.
Dua puluh tiga tahun kemudian, nama Nuvolari kembali dengan pendekatan yang jauh berbeza.
Pada 4 Jun 2026, Audi memperkenalkan Nuvolari baharu di Antibes, Perancis. Kali ini, ia bukan sekadar concept car, tetapi prototype hampir produksi untuk sebuah supercar hybrid yang bakal dihadkan kepada 499 unit.
Jentera ini menggunakan enjin 4.0-litre V8 twin-turbo berkuasa 800 hp, digabungkan dengan tiga electric motors. Keseluruhan sistem menghasilkan 1,001 PS dan 730 Nm daripada enjin pembakaran sahaja. Ia mampu mencapai 100 km/j dalam 2.6 saat dan kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.

Lebih menarik, Audi menggunakan teknologi axial flux motors, active aerodynamics dan sistem quattro predictive ride. Penghantaran pertama dijadualkan bermula pada separuh pertama 2027.
Daripada V10 twin-turbo kepada V8 hybrid, Nuvolari memperlihatkan perubahan besar dunia prestasi Audi. Namun, satu perkara kekal: semangat motorsport yang menjadi asas kepada nama tersebut.


