Ferrari 296 GTS Dilancarkan. Seperti Ferrari 296 GTB Tapi Versi Convertible

  • Ferrari melancarkan 296 GTS (Gran Turismo Spider), si ‘labah-labah’ Berlinetta dengan enjin pertengahan belakang baharu.
  • 296 GTS turut menggunakan rangkaian kuasa hybrid Ferrari V6 830cv yang diperkenalkan dengan Ferrari 296 GTB.
  • Juga tersedia dengan pakej Assetto Fiorano yang lebih ekstrem.

Pada 19 April 2022, Ferrari memperkenalkan 296 GTS, si labah-labah Berlinetta dengan dua tempat duduk dan enjin pertengahan belakang baharu. Model terbaharu ini mula ditayangkan secara dalam talian.

Untuk pengetahuan, nama jentera ini sebenarnya digabungkan daripada jumlah sesarannya (2992 I) dan juga bilangan silinder (6) dan akronim GTS yang membawa maksud Gran Turismo Spider. Maka lahirlah nama Ferrari 296 GTS. Menarik bukan?

Jika 296 GTB ialah coupe, 296 GTS pula ialah ‘kembar’ 296 GTB tetapi dengan versi convertible yang mana ia hadir dengan bumbung hardtop yang boleh dilipat. Menariknya, bumbung itu mampu turun atau naik dalam tempoh 14 saat sahaja dan boleh dioperasikan dalam kelajuan sehingga 45 km/j.

Untuk bahagian enjin pula, 296 GTS menggunakan 663 cv 120° V6 baharu dan diapit dengan motor elektrik yang mana ia mampu menghasilkan jumlah output keseluruhan sehingga 830hp dan 740Nm tork. Selain itu, transmisi yang digunakan ialah unit dwi-klac 8 kelajuan yang sama digunakan seperti SF90 Stradale/ Spider, Portofino, Roma atau ‘saudara kembarnya’ iaitu 296 GTB. Maka, dengan enjin yang sangat padu, ia sudah cukup untuk memberikan kadar pecutan yang sangat pantas, iaitu daripada 0 sehingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat manakala daripada 0 sehingga 200 km/j pula dalam masa 7.6 saat! Selain itu juga, kelajuan maksima Ferrari 296 GTS ini ialah 330 km/j. Namun sekiranya pemandu menggunakan mod elektrik, kelajuan akan dihadkan kepada 135 km/j.

Adakah jentera ini merupakan model yang terakhir dilancarkan pada tahun 2022? Sudah tentu TIDAK. Ini kerana Ferrari dijangka akan memperkenalkan SUV pertama mereka, Purosangue, yang kononnya bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *