Proton Perkenalkan Enjin Hybrid 1.5L Baharu – Bukan Sekadar Jimat Minyak, Ini Teknologi Di Sebalik i-HEV


Proton nampaknya semakin serius dalam dunia elektrifikasi. Kali ini, pengeluar kereta nasional itu memperkenalkan teknologi hybrid terbaharunya yang dikenali sebagai i-HEV, dengan enjin petrol 1.5-litre yang dibangunkan khusus untuk bekerja bersama sistem motor elektrik.
Di sebalik nama i-HEV, perkara paling menarik sebenarnya terletak pada enjin baharunya, iaitu 1.5-litre Naturally Aspirated Dedicated Hybrid Engine (DHE). Enjin ini menghasilkan 111 PS dan 136 Nm tork, dengan kecekapan terma maksimum mencecah 46.5 peratus.
Untuk mencapai tahap kecekapan tersebut, Proton menggunakan Atkinson Cycle, iaitu kaedah pembakaran yang mengutamakan penggunaan bahan api secara lebih cekap berbanding menghasilkan kuasa maksimum semata-mata. Enjin ini turut mempunyai nisbah mampatan 14:1, sistem Water-Cooled Exhaust Gas Recirculation (EGR), pam minyak sesaran berubah-ubah serta pam air elektrik bagi mengurangkan kehilangan tenaga.

Namun, jangan terlalu cepat menganggap enjin ini kurang berkuasa hanya kerana angka 111 PS. Ia bukan bekerja sendirian.
Sistem i-HEV turut menggunakan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menempatkan dua motor elektrik, iaitu P1 dan P3. Motor P1 bertindak sebagai starter-generator, manakala motor P3 menjadi motor pacuan utama dengan output sehingga 163 PS dan 220 Nm. Kedua-duanya dibantu bateri berkapasiti 1.38 kWh.
Gabungan ini membolehkan sistem beroperasi dalam empat mod iaitu EV, Series, Parallel dan Direct Drive. Kesemuanya dikawal secara automatik mengikut keadaan pemanduan, tanpa memerlukan campur tangan pemandu.
Menariknya, ini merupakan sistem Full Hybrid yang tidak memerlukan pengecasan luaran. Bateri dicas melalui penjanaan tenaga oleh enjin dan sistem regenerative braking. Maknanya, pengguna hanya perlu mengisi petrol seperti biasa.
Proton juga mengesahkan pengeluaran enjin DHE serta pemasangan transmisi DHT dan Electric Drive Unit (EDU) akan dilakukan di Tanjong Malim.
Teknologi i-HEV ini bakal membuat kemunculan pertama pada model baharu berkod AMA 02. Persoalannya, mampukah enjin hybrid baharu Proton ini menawarkan penjimatan bahan api yang benar-benar ketara?
Angka 46.5 peratus kecekapan terma memang mengagumkan di atas kertas. Tetapi akhirnya, pengguna mahu melihat satu perkara: berapa kilometer boleh pergi dengan setiap liter petrol?




