Proton Juara: Dahulu ‘Mesin Basuh Bergerak’, Sekarang Jadi Campervan?

Proton Juara? Mungkin itu antara persoalan bila ditanya tentang model MPV keluaran Proton pada tahun 2001 ini. Mungkin kerana terlalu jarang orang yang memandu Proton Juara di jalanraya Malaysia, maka ramai yang mula lupa akan kehadiran MPV ini suatu masa dahulu.
Masih lagi ingat semasa MPV ini mula diperkenalkan dulu, ada yang merasakan bahawa bentuknya agak pelik dan terlalu ‘petak’. Malah tak kurang juga yang menggelarkan MPV ni sebagai ‘mesin basuh bergerak’!

Di awal kemunculannya 20 tahun lepas, Proton Juara dijual pada harga sekitar RM 50,000. Ianya dianggap sebagai agak mahal dan tambahan pula dengan reka bentuk yang agak pelik atau terlalu simple maka jualan MPV ini kurang memberangsangkan. Bayangkan, 10 tahun selepas dilancarkan MPV ini memang jatuh harga. Ada yang harga tak sampai RM 5,000 seunit. Kesian.
Tapi itu dulu. Disebabkan zaman sekarang semakin ramai rakyat Malaysia yang sukakan aktiviti berkhemah maka ramai antara kita yang mula ubahsuai kereta menjadi campervan. Lagi menarik, antara kenderaan pilihan ramai untuk dijadikan sebagai campervan ini tak lain tak bukan ialah Proton Juara. Maka tidak hairan jika dahulu harga MPV terpakai cuma di bawah RM 5,000 kini ianya boleh mencecah sehingga RM 10,000 hingga RM 15,000. Wow!
Mungkin juga geng campervan suka MPV ni sebab ianya bukan setakat murah, tetapi pintu gelongsor belakang yang boleh dibuka dari kedua-dua belah tu yang membuatkan ramai orang memilih untuk mengubahsuai MPV ni menjadi DIY campervan.
Selain itu juga, mungkin antara punca Proton Juara semakin dicari adalah sebab ianya juga mendapat permintaan tinggi daripada kalangan peniaga tepi jalan yang kebiasaannya menggunakan kereta atau van. Macam biasalah, bila sesuatu benda tu mendapat permintaan tinggi, maka sudah tentu harganya juga akan melambung naik. Dulu bukan main orang cakap Proton Juara ni buruk rupanya. Siapa sangka dulu dihina sekarang dipuja dan kelihatan lebih comel. Kan?




