SARAWAK DAH ADA SYARIKAT PENERBANGAN SENDIRI? TAHNIAH AIRBORNEO!

Tahniah negeri Sarawak kerana menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai syarikat penerbangan sendiri. Selepas Kerajaan Sarawak memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), kini anak syarikat penerbangan Malaysia Airlines iaitu MASWings akan diambilalih dan dinamakan semula sebagai AirBorneo.
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, langkah strategik ini akan meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ASEAN. Selain mewujudkan tambang yang lebih berpatutan dan ekonomi, AirBorneo juga akan memberikan tumpuan kepada perkhidmatan udara luar bandar sebelum berkembang dengan lebih jauh lagi pada masa akan datang.

Sumber imej: says.com
Menurut laporan, selain penerbangan domestik, Sarawak juga berharap agar AirBorneo boleh turut melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa termasuk ke negara Korea Selatan, Jepun, Jerman, Thailand serta Hong Kong. Malah, Sarawak juga turut mencadangkan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching untuk memberikan perkhidmatan dan ketersambungan yang lebih baik.
AirBorneo juga bakal ditransformasikan kepada full-service carrier, setaraf dengan Malaysia Airlines. Maka, penambahbaikan daripada pelbagai sudut ini dilihat sebagai langkah Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi hab penerbangan di Borneo dan ASEAN. Selain itu juga, Kerajaan Sarawak turut berharap agar peluang ini mampu digunakan untuk meningkatkan ekonomi dan taraf sosial masyarakat pedalaman di kawasan yang mempunyai kekangan akses jalan raya. Pertukaran ilmu juga akan dilakukan di antara Sarawak Tourism Boards (STB) dan Malaysia Aviation Group, bagi melatih lebih ramai tenaga tempatan untuk memajukan ekosistem penerbangan di Sarawak.
P/S: Negeri lain tak nak ada penerbangan sendiri ke?




