Tesla Kini Kilang Auto Paling Produktif Di Amerika. Hampir 9,000 Kereta Dihasilkan Seminggu

Kilang Elon Musk di California mengeluarkan lebih banyak kenderaan berbanding 70 pesaingnya di Amerika Utara.
Semasa di awal kemunculan Tesla Inc. dulu, Musk sering dikutuk kerana ramai menganggap bahawa dia merupakan seorang yang terlalu angkuh dan terlalu yakin dengan kemampuan Tesla. Kini, Musk berjaya membuktikan yang beliau bukan hanya sembang kosong selepas Bloomberg melaporkan bahawa kilang Tesla menjadi pengeluar kereta paling produktif di Amerika.

Tahun 2021 menyaksikan kilang Tesla di California mampu menghasilkan 8,550 kereta seminggu, berbanding Toyota Motor Corp yang menghasilkan 8,427 kereta seminggu di Kentucky, BMW AG yang mengeluarkan 8,343 kereta seminggu di Spartanburg dan Ford Motor Co yang mencapai 5,564 kereta seminggu di Michigan. Jika dilihat pada data, memang Tesla menunjukkan peningkatan positif di mana pada tahun 2012, ia hanya mampu menghasilkan 60 kereta sahaja dalam masa seminggu. Sembilan tahun kemudian, jumlah itu berganda sehingga hampir 150 kali ganda di mana kini mereka mampu hasilkan hampir 9,000 buah kereta seminggu.
Jika kita lihat pada perkembangan yang dicapai oleh Tesla, sebenarnya mereka sangat beruntung kerana mereka merupakan pelaburan terawal dan terbesar dalam menghasilkan kenderaan elektrik (EV), lantas dengan meningkatnya permintaan global untuk kereta elektrik, sedikit sebanyak ia telah membuka peluang untuk Tesla menjadi lebih maju dalam masa yang sangat singkat. Jika dahulu EV kelihatan belum relevan dalam pasaran, namun kini kita sendiri dapat lihat bahawa hampir kesemua pengeluar kenderaan di dunia pun sedang berlumba-lumba untuk membina kenderaan elektrik jenama masing-masing.





