Isuzu D-Max X Jumbo Arena Satukan Komuniti Off-Road di Litar Motorcross Ayer Hitam


Bunyi enjin yang garang, debu yang memenuhi trek dan semangat komuniti yang cukup luar biasa, itulah suasana yang mewarnai acara Off-Road Training Isuzu D-Max yang berlangsung di Litar Motorcross Ayer Hitam, Johor pada 13 Jun 2026 baru-baru ini. Dianjurkan oleh Jumbo Arena Sdn Bhd, acara ini berjaya menghimpunkan 50 pemilik Isuzu D-Max dari seluruh Malaysia dalam satu pengalaman off-road yang bukan sahaja menyeronokkan, malah penuh dengan ilmu dan pembelajaran praktikal.

Berbeza daripada acara off-road biasa, penganjuran Isuzu D-Max X Jumbo Arena memberi fokus kepada pendedahan sebenar kepada peserta yang juga pemilik Isuzu D-Max tentang cara menggunakan fungsi-fungsi yang tersedia pada kenderaan mereka ketika melalui laluan mencabar. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan penggunaan peralatan recovery yang betul sekiranya berdepan situasi sukar semasa melakukan aktiviti hardcore off-roading.
Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Mr Yeo Ann Siong, Managing Director of Jumbo Arena, yang mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir menjayakan program tersebut. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan terhadap Jumbo Arena serta menghargai komitmen para pelanggan setia Isuzu yang sanggup meluangkan masa dan datang dari pelbagai negeri semata-mata untuk menyertai pengalaman off-road bersama. Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa acara seperti ini bukan sahaja mengeratkan komuniti pemilik Isuzu D-Max, malah membuka peluang untuk peserta menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan menikmati pengalaman off-road dalam suasana yang selamat dan menyeronokkan.


Turut memeriahkan acara ialah kehadiran tetamu kehormat, Chief Operating Officer LCV of Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Mr Kenichi Kudo San, yang bersama-sama menyaksikan perjalanan program dan sokongan terhadap komuniti pengguna Isuzu D-Max di Malaysia.
Salah satu sesi yang paling mendapat perhatian peserta ialah sesi taklimat dan penerangan mengenai ciri-ciri Isuzu D-Max yang dikendalikan oleh Mr Khairul Asymawi, Certified Trainer dari Isuzu Malaysia Sdn Bhd. Dalam sesi ini, peserta diberikan penerangan secara lebih mendalam mengenai fungsi-fungsi kenderaan yang boleh dimanfaatkan semasa pemanduan off-road termasuk teknik penggunaan yang lebih efektif mengikut situasi dan keadaan laluan.

Yang paling ditunggu-tunggu semestinya sesi off-road training dan pengalaman memandu di trek sebenar. Peserta bukan sekadar melihat demonstrasi tetapi mereka sendiri diberi peluang untuk mencuba trek off-road secara bergilir-gilir (test drive) menggunakan Isuzu D-Max dan merasai cabaran sebenar di laluan yang telah disediakan.
Setiap selekoh, permukaan tidak rata dan pelbagai halangan di trek menjadi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sambil menguji keupayaan kenderaan dalam suasana yang terkawal dan selamat. Menariknya, saya sendiri sebagai seorang wanita turut berpeluang mencuba pengalaman memandu off-road secara langsung dan merasai sendiri cabaran melalui laluan berbukit tinggi, mendaki cerun curam, melalui lereng bukit yang senget, jalan yang tidak rata serta bonggol besar yang benar-benar menguji kawalan kenderaan dan keyakinan di belakang stereng.
Secara keseluruhannya, Isuzu D-Max X Jumbo Arena 2026 bukan sekadar acara automotif namun ia turut menjadi platform yang menyatukan komuniti pemilik Isuzu D-Max, berkongsi ilmu serta membuka peluang untuk menikmati pengalaman off-road dengan lebih yakin, selamat dan bertanggungjawab.
Kalau tahun depan ada lagi, memang acara yang wajib masuk dalam senarai!





