BAKAR LORI TUNDA MBJB : LELAKI BARAN SEBAB TAK MAMPU BAYAR KOMPAUN.

Kalau orang lain nak marah kereta kena tunda, paling tidak pun buat story di WhatsApp, tulis status panjang di Facebook atau buat video pendek di TikTok. Tapi kejadian lelaki bakar lori tunda MBJB di Johor Bahru ini memang lain daripada biasa. Gara-gara tidak puas hati keretanya kena tarik oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), dia bertindak membakar sebuah lori tunda.
Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pertengahan bulan Ogos lalu di depot MBJB, Johor Bahru Waterfront. Sehari sebelum kejadian, kereta Perodua Axia milik lelaki berusia 31 tahun tersebut ditarik oleh pihak MBJB. Oleh kerana tidak mampu membayar kompaun, dia membawa petrol dan lighter lalu membakar lori tunda MBJB.
Sebenarnya, suspek sudah dapat diskaun apabila harga kompaun asal dikurangkan kepada RM250. Namun, mungkin kerana menganggur, dia tetap tidak mampu membayarnya. Akhirnya, “penyelesaian” paling logik yang dia fikir adalah bakar lori tanda protes!

Tidak sampai tiga jam selepas insiden, polis berjaya menahan suspek hasil bantuan rakaman CCTV. Rakaman jelas menunjukkan suspek menggunakan petrol dan lighter untuk membakar lori tersebut. Polis turut menemui tong petrol kecil serta lighter yang digunakan. Lebih mengejutkan, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian air kencing kali ini negatif. Maksudnya, dia melakukan jenayah tersebut bukan kerana khayal tetapi kerana tekanan dan baran akibat tiada duit.

Daripada membayar kompaun RM250, suspek akhirnya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun serta denda RM6000. Kisah lelaki bakar lori tunda MBJB ini jadi pengajaran jangan biarkan baran dan tekanan hidup membawa kepada tindakan bodoh yang akhirnya merugikan diri sendiri.




