
Di Malaysia, memang menjadi kebiasaan oleh ‘kaum baik beli’ yang mana setiap produk pasti akan ada pesaing tersendiri. Maka akan keluarlah ayat “Daripada beli yang A, baik aku beli yang B” walaupun realitinya orang itu tidak membeli mana-mana satu pun. Sama seperti apabila munculnya idea yang mana pemerhati industri automotif tempatan mula membandingkan dua model kereta yang seakan sama iaitu Proton S70 VS MG5. Jadi, apa kata kita lihat beberapa aspek utama untuk spek tempatan seperti di bawah:

- Kuasa & Prestasi. Mana Lebih Hebat?
Kalau dilihat, Proton S70 memang nampak tough dengan enjin 1.5L turbo tiga silinder yang mampu menghasilkan 148 hp dan 226 Nm tork bersama transmisi 7-kelajuan DCT. MG5 pula turut mempunyai enjin yang seakan sama, cuma ia menggunakan varian turbo 1.5L enjin empat silinder yang mampu menghasilkan 170 hp dan 250 Nm tork dengan DCT 7-kelajuan. Jika dibandingkan, MG5 menang kerana lebih berkuasa, tapi Proton S70 pun sebenarnya sudah cukup tangkas untuk jalan Malaysia. Anda rasa?

- Ruang & Dimensi. Mana Lebih Sesuai Untuk Kegunaan Harian?
MG5 mempunyai reka bentuk yang lebih sporty dengan rupa ala fastback yang mana ianya merupakan sebuah sedan tapi berbentuk hatchback. Ruangnya juga cukup luas tapi kalau daripada segi ruang nampaknya Proton S70 akan dapat markah lebih. Dengan dimensi 4,602mm panjang, 1,809mm lebar, 1,466mm tinggi, wheelbase 2,627mm serta keluasan begasi sehingga 500L, memang ianya lebih praktikal dan baik untuk keluarga di Malaysia.

- Keselamatan. Mana Yang Lebih Lengkap?
Proton S70 menawarkan suite ADAS penuh pada varian Flagship/Flagship X termasuk AEB, ACC dan Stop-Go, Lane Keep and Warning, TSR, kamera 306 darjah, 6 beg udara serta penarafan ASEAN NCAP 5 bintang! Untuk MG5 pula malangnya telah mendapat 0 bintang ANCAP (Australasian New Car Assessment Program – Australia) pada tahun 2023 kerana skor yang sangat rendah untuk penumpang serta kurang ciri seperti pre-tensioner seatbelt dan AEB bagi penumpang belakang. Kesimpulannya, untuk jalan raya Malaysia memang Proton S70 lebih selamat dan menyakinkan.

- Harga & Nilai. Mana Yang Lebih Berpatutan?
Di Malaysia, MG5 (fastback) dijual pada harga sekitar RM 93,900. Untuk Proton S70 pula, dijual pada harga bermula dari RM 74,000 hingga RM 95,000 bergantung kepada varian (Executive ke Flagship X). Jika dibuat perbandingan harga, nampaknya Proton S70 lebih fleksibel di mana varian asasnya jauh lebih murah dan varian Flagship X pula hampir sama harga dengan MG5.

- Gaya Keseluruhan. Mana Yang Lebih ‘Ummphh’?
Kalau lihat pada gaya luaran, memang MG5 ternyata kelihatan lebih agresif, sporty dan moden berbanding Proton S70. Jadi, untuk orang yang mencari kereta yang memukau dan ‘rare’ di jalan raya Malaysia, mungkin MG5 adalah pilihan mereka. Namun untuk yang mencari kereta yang mempunyai sistem keselamatan yang lebih bagus, harga berpatutan selain tak pening kepala nak cari pusat servis tempatan, maka Proton S70 yang akan menjadi pilihan mereka.
Kalau anda, yang mana pilihan No 1?




