Sebenarnya, mungkin antara kita kerap dengar tentang kereta klon. Tapi apa sebenarnya kereta klon? Kereta klon ini sebenarnya kereta jenis yang sama yang menyerupai kenderaan yang telah didaftarkan di Malaysia. Maksudnya, kereta itu mungkin dari model, warna, jenama dan yang paling penting menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kereta ‘ori’.
Bayangkan anda sedang memandu sebuah Mercedes Benz A250 berwarna putih, tiba-tiba ada lagi sebuah kereta yang sama, menggunakan nombor plat sama seperti anda. Maka sudah pasti salah satunya ialah kereta klon.

Ada ke orang yang sanggup beli kereta klon ni? Sudah tentu ada. Ada dua jenis pembeli. Yang pertama adalah mangsa yang ditipu manakala yang kedua adalah yang memang sudah tahu kereta itu merupakan kereta klon tapi sanggup membelinya demi nak nampak kaya. Siapa tak nak kereta mewah dengan harga mampu milik kan?
Bukan sahaja kereta tersebut kebiasaannya jenis kenderaan mewah, malah harganya turut jauh lebih murah daripada kereta yang sebenar. Kebiasaannya, kereta klon ni datang atau ‘diimport’ dari negara jiran, khususnya dari Singapura atau Thailand, melalui sindiket tertentu.
Sindiket kereta klon ini sangat bijak. Sebab mereka berjaya mengaburi pandangan mata pihak berkuasa selain mempunyai ‘pakar’ dalam memalsukan dokumen, nombor casis serta nombor enjin sebelum berjaya menipu pembeli. Katanya kereta nak jual murah walhal kereta itu ialah kereta klon. Kesian. Sekiranya anda adalah pembeli yang menjadi mangsa, anda mungkin akan dikenakan hukuman untuk tiga kesalahan:
1. Pemilik kereta klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM2,000 ATAU
2. Jika pemilik didapati mempamerkan maklumat nombor pendaftaran palsu, pemilik berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang dan tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan ATAU
3. Pemilik kereta klon yang tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah juga boleh didakwa mengikut Seksyen 90(1) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Jadi, sekiranya anda ingin mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kereta klon, sila pastikan kenderaan yang bakal dibeli itu dijual dengan harga yang hampir sama dengan pasaran yang lain. Andai kata kereta itu berkali ganda lebih murah, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta tersebut. Mat Saleh kata “too good to be true”.




