
Bayangkan minyak goreng ayam yang dah lebih tiga kali pakai? Mesti warnanya nak hitam, bau pun semacam. Biasanya kita terus buang minyak tu kan? Buat apa simpan sebab tiada siapa yang nak? Sebenarnya, anda SILAP besar!
Tahukah anda, minyak terpakai tu sebenarnya boleh buat duit yang mana harganya boleh mencecah dari RM 2.50 hingga RM 3.00 sekilo! Minyak terpakai, tidak kira apa jenama sekalipun sama ada yang ada di rumah, kedai makan ataupun minyak hitam kereta, boleh diproses semula untuk dijadikan sesuatu yang berguna termasuk biodiesel, pelincir industri, lilin, sabun, pencuci serta makanan haiwan. Malah, ia juga mampu dijadikan bahan api selain membantu untuk menyelamatkan bumi.

Dari Dapur Ke Enjin.
Minyak masak yang dah banyak kali guna tu, tolong jangan terus buang. Simpan elok-elok dalam bekas yang sesuai sebab ada banyak syarikat di Malaysia yang akan datang kutip minyak terpakai dari restoran, kantin sehingga ke rumah orang awam untuk ditapis, dibersihkan dan tukar kepada biodiesel.
Apa itu biodiesel? Ia adalah sejenis bahan api yang lebih mesra alam berbanding diesel biasa dan yang bagusnya ia sangat sesuai digunakan untuk kenderaan berat seperti bas, lori atau jentera berat. Senang cerita, minyak ayam goreng ditukar kepada minyak yang boleh bagi tenaga kepada lori. Ini baru ‘circle of life’!

Ingat minyak masak je ke yang boleh dikitar semula? Minyak hitam kereta pun boleh lah! Jangan main-main sebab syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) akan kutip minyak ni dan diproses menjadi ‘base oil’ semula. Walaupun proses dia agak teknikal, namun hasilnya adalah minyak ini boleh digunakan balik untuk menghasilkan pelincir baru.
Jadi, daripada kita buang minyak terpakai tu ke longkang yang boleh menyebabkan pencemaran air dan membunuh hidupan air, lebih baik kita bagi ‘peluang kedua’ kepada minyak terpakai tadi. Silap-silap, minyak pelincir yang kereta kita gunakan sekarang pun sebenarnya dari minyak terpakai.




