
Majlis gilang-gemilang yang dianjurkan oleh CST Auto Group sempena pelancaran rasmi pusat pameran kenderaan elektrik (EV) pertama di negeri Perak iaitu CST Auto EV-Hub. Terletak di Fair Park, Ipoh, majlis ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang turut menyempurnakan acara pemotongan reben dan menandatangani plak perasmian.
Apa yang menarik tentang EV-Hub ini?
Yang pertama, kerana ianya adalah pusat pameran EV yang pertama di Perak. Yang kedua, konsepnya juga kelihatan menarik dan serba lengkap. CST Auto EV-Hub bukan sahaja mempunyai tempat pameran kenderaan elektrik terbaharu, namun ia turut menjadi hub penuh untuk EV termasuk mempunyai tempat servis, insurans, alat ganti, detailing, termasuk penjagaan selepas jualan (after-sales). Pendek kata, mereka ada semua cukup lengkap di bawah satu bumbung.

Antara jenama yang dipamerkan di sini ialah JAC Motors, Leapmotor, GAC Motor, Maxus, Subaru dan Suzuki, selain turut mempamerkan sebuah lori yang turut menjadi lori EV pertama di Malaysia! Ternyata Perak kini benar-benar sudah melangkah masuk ke fasa baharu dunia automotif hijau.
Yang menariknya, semasa majlis pelancaran tersebut, CST Auto turut menyajikan tayangan video bertemakan Deepavali, nostalgia Ipoh dan era baharu EV di bumi Perak. Bahkan, jamuan makan tengah hari pun sangat meriah dengan makanan yang sedap dan pelbagai. Sesekali terasa seperti hadir ke kenduri raya versi EV.
Jadi, buat orang Perak yang berminat dengan kenderaan elektrik atau apa-apa kenderaan keluaran Subaru, Suzuki, Maxus, GAC Motor, JAC Motors atau Leapmotor, kini anda sudah boleh singgah ke CST Auto EV-Hub yang terletak di Fair Park, Ipoh, Perak!



